Berapa Lama Kerajaan Pimpinan PKR Mampu Bertahan Di Selangor?

“Perceraian” antara PAS dan DAP yang menghancurkan hubungan kerjasama dalam pakatan rakyat setakat ini tidak menjejaskan kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, namun kelangsungan pemerintahan kerajaan pimpinan PKR itu masih berdepan cabaran besar.

Kerajaan Selangor dilihat tetap boleh berfungsi seperti biasa tetapi hanya dengan pentadbiran yang kurang efektif.

Demikian pandangan beberapa penganalisis politik dengan situasi politik semasa di Selangor lebih-lebih lagi dengan PAS dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), sedangkan PKR hanya dengan 13 kerusi.

Apabila PAS dan DAP tidak lagi mampu duduk semeja, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, kini perlu lebih berhati-hati dalam percaturan politiknya untuk menguruskan kerajaan campuran ketiga-tiga parti politik itu.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata PKR perlu bijak membuat percaturan bagi memastikan ia terus mendapat sokongan untuk menerajui pentadbiran Selangor.

“Ramai melihat kedudukan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar tidak mungkin terjejas dengan berakhirnya riwayat pakatan. Namun, adalah tidak mustahil bahawa pilihan raya negeri mungkin tidak dapat dielakkan di Selangor,” katanya kepada Bernama.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi, PAS (15), DAP (15), PKR (13), BN (12) dan Bebas (1). Kerajaan pimpinan PKR kini dibentuk dengan 43 kerusi gabungan DAP, PAS dan PKR.

Dr Mohd Azizuddin berkata jika Azmin terpaksa membuat pilihan di antara DAP atau PAS, dan beliau memilih untuk bersama DAP, dan menerima anggota serpihan daripada PAS yang mungkin beralih arah, maka beliau akan mengeruhkan hubungan PKR dengan PAS.

Jika semua 15 wakil rakyat PAS memutuskan untuk tidak menyokong pimpinan Azmin kerana tidak lagi boleh ‘bertentang mata’ dengan wakil rakyat DAP, kerajaan pimpinan PKR akan hilang majoriti, katanya.

Situasi ini boleh berlaku kerana gabungan kerusi DAP dan PKR hanya berjumlah 28, sekaligus menyamai jumlah kerusi pembangkang BN dan PAS termasuk kerusi milik bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini berfungsi sebagai ADUN Bebas yang menyokong BN.

Sekiranya senario itu berlaku, Mohamed Azmin perlu mendapatkan kembali sokongan untuk membentuk kerajaan sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah, iaitu mendapatkan sokongan 29 ADUN.

“Keadaan Azmin juga akan terjejas sekiranya ada wakil rakyat yang bertindak membawa usul undi tidak percaya terhadap pimpinannya di DUN dan jika usul itu diterima, kedudukan beliau akan goyah kerana situasi itu memungkinkan adanya pilihan raya negeri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kerajaan PKR Selangor masih boleh berfungsi jika wakil rakyat kedua-dua parti bertelagah itu masih kekal di dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

“Namun oleh kerana tiada lagi permuafakatan di antara DAP dan PAS, wakil rakyat kedua-dua parti itu mungkin bergerak sebagai individu dan tidak menyuarakan pandangan yang mewakili parti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata apabila keadaan itu berlaku, pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi kurang efektif kerana setiap keputusan bukanlah secara kolektif seperti ketika ketiga-tiga parti itu berada di dalam pakatan.

— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s