Isu Melibatkan Ketelusan, Tadbir Urus Kerajaan Perlu Dipandang Berat – Muhyiddin

Sebarang isu yang timbul melibatkan soal ketelusan atau tadbir urus dalam kerajaan perlu dipandang berat dan jika terdapat masalah ia perlu diselesaikan segera, kata Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata kewujudan sesebuah kerajaan yang telus dengan tadbir urus yang baik adalah menjadi keutamaan rakyat dalam membuat pilihan politik pada masa kini.

“Ini termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak boleh dibiarkan berlarutan dan setiap dakwaan mengenai penyelewengan dalam urusan 1MDB perlu segera disiasat secara bebas, telus dan adil dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB kerana amanah menjadi satu nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan,” katanya dalam perutusan bersempena ulang tahun ke-69 UMNO pada Isnin.

Amanah menjadi nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan dan jika pemimpin UMNO amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepimpinan, bersih daripada sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan, maka parti itu akan mendapat sokongan padu rakyat.

“Sebaliknya, jika pemimpin dilihat tidak amanah, maka rakyat akan menolak parti kita. Sebagai anggota UMNO yang sayangkan parti, kita perlu sentiasa mengutamakan perjuangan parti,”.Beliau berkata sejak penubuhannya, UMNO berjaya mewujudkan keharmonian kaum dan memelihara kestabilan negara dengan bekerjasama serta berkongsi kuasa dengan rakan-rakan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Namun, kedudukan UMNO pada hari ini tidak sekukuh dahulu, selain gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13, UMNO juga sedang menghadapi masalah persepsi yang kian gawat.

“Tidak dinafikan orang Melayu masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap UMNO untuk membela nasib mereka, namun saya bimbang jika isu-isu yang melingkari parti kita tidak dapat dijawab dengan baik untuk terus meyakinkan rakyat tentang keikhlasan perjuangan UMNO, maka rakyat akan menolak UMNO dalam pilihan raya dan kita terpaksa melepaskan amanah kepimpinan yang digalas selama ini,”.

Survival UMNO bergantung kepada sejauh mana rakyat melihatnya sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai, justeru anggotanya perlu sentiasa bermuhasabah, memperbaiki segala kelemahan dan bertindak memperbetulkan keadaan sebelum terlambat.

“Rakyat sedang memerhati tindakan dan pendirian UMNO dalam beberapa isu utama. Dalam isu hubungan kaum dan perpaduan nasional misalnya, rakyat sedang melihat ke mana arah tuju UMNO, adakah UMNO akan terus menjadi sebuah parti Melayu dan Islam yang moderat, sederhana dan progresif atau berubah menjadi sebuah parti perkauman yang rasis dan ekstrem,”.

Beliau berkata UMNO juga tidak boleh terjebak dalam polemik perkauman dan agama yang ekstrem sehingga meruntuhkan asas-asas negara yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu dan termaktub dalam Perlembagaan.

Walaupun wujud pelbagai asakan dan provokasi yang ingin melihat UMNO terjerumus ke dalam jerangkap rasisme dan ekstremisme, namun anggota UMNO perlu istiqamah.

“Pendirian UMNO selama ini yang seimbang, moderat dan sederhana dalam mengurus hubungan kaum dan agama perlu dipertahankan kerana kita bukan sebuah parti Melayu yang rasis dan kita juga bukan sebuah parti Islam yang jumud dan ekstrem,”.

UMNO sebaliknya adalah sebuah parti yang membawa rahmat dan manfaat untuk semua, selain membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam.

Pada masa sama, UMNO memelihara kepentingan yang sah kaum-kaum lain dan menghormati kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Saya percaya selagi mana kita berada di atas landasan perjuangan yang seimbang ini maka kita akan berjaya mengekalkan perpaduan nasional dan parti kita UMNO akan terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” .

UMNO juga perlu mengemukakan jawapan segera kepada segala permasalahan yang dihadapi rakyat seperti tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kita akui bahawa kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang sebahagian besarnya berada di luar kawalan kerajaan, namun sebagai kerajaan yang prihatin, pelbagai dasar dan program dilaksanakan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah beban kos sara hidup dan UMNO perlu menjuarai isu ini,”.

Setiap anggota parti juga perlu bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan dan menghindari sebarang tindakan yang boleh melemahkan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
2015-02-12-11-07-03--2066745863

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s