Sekretariat khas bantu MIC – Palanivel enggan terima cadangan BN

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menolak cada­ngan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan krisis parti itu dengan menubuhkan sekretariat khas bagi membantu MIC menjalankan pro­ses pemilihan baharu parti bermula April depan.

Beliau berkata, MIC mempunyai perlembagaan dan undang-undang parti yang memboleh­kan ahli-ahli parti sendiri menjalankan pemilihan tanpa campur tangan mana-mana pihak ketiga.

“Saya masih lagi terkejut bagaimana Timbalan saya, Datuk Seri Dr.S. Subramaniam boleh ‘se­nang-senang’ bersetuju dengan cadangan memberi kebenaran kepada komponen BN seperti UMNO, MCA dan Gerakan supaya menjalankan pemilihan parti MIC. Saya selaku Presiden parti menolak sekeras-kerasnya cadangan ini. Mungkin Subramaniam sanggup bertoleransi dengan perkara ini demi agenda beliau tetapi saya tidak akan sesekali berbuat demikian.

“Ini adalah parti kami, kami ada undang-undang dan perlembagaan sendiri, kami sendiri boleh jalankan pemilihan parti tanpa orang luar untuk mentadbir urus mahupun menjalankan pemilihan parti. Ini adalah satu penghinaan dan menjejaskan maruah serta integriti parti, saya tidak akan benarkan semua ini berlaku,”.

Palanivel mengulas cadangan yang dibentangkan oleh mesyuarat peringkat tinggi BN yang mahu menubuhkan sekretariat khas bagi membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan MIC.

Sekretariat itu dicadang ditubuhkan secepat mungkin dan akan dipengerusikan Setiausaha Kerja BN, Datuk Abu Khamis serta dianggotai parti komponen BN yang tidak berkaitan de­ngan kaum India seperti MCA dan Gerakan.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

Konflik parti bertambah hangat apabila Palanivel meminta ROS supaya menarik balik semua suratnya sebelum Selasa ini dengan mendakwa ia bercanggah dengan akta pertubuhan dan perlembagaan parti serta mengancam akan mengambil tindakan undang-undang jika tidak berbuat demikian.

Palanivel juga telah membuat keputusan drastik untuk mencabar setiap keputusan ROS berhubung pemilihan parti itu pada tahun 2013 mengikut lunas undang-undang.

ROS telah mencabul perlembagaan parti itu melalui beberapa keputusan termasuk yang terbaharu memberi kebenaran kepada CWC tahun 2009 yang telah dibubarkan, menguruskan perjalanan parti sehingga pemilihan semula beberapa jawatan selesai.

“Saya telah banyak bersabar selama ini, saya juga telah memberi masa kepada ROS sebelum ini tetapi nampaknya dengan pengumuman pagi tadi, maka tidak guna untuk saya tunggu jawapan daripada pihak ROS.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan kes ini secepat mungkin, dalam perkara ini saya tidak boleh bertolak ansur lagi,”.

Subramaniam dalam kenyataan berlainan berkata, beliau menafikan telah memberi sebarang persetujuan kepada komponen BN yang lain untuk mentadbir urusan pemilihan parti seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Jawatankuasa interim 2009 boleh menjalankan pemilihan baharu parti tanpa menggunakan khid­mat komponen lain dalam BN. Saya tidak pernah memberi apa-apa persetujuan berhubung perkara ini,”.

Pada masa sama, Subaramaniam turut menyalahkan Palanivel yang disifatkan beliau sebagai punca krisis MIC berpanjangan berikutan keputusannya memilih untuk berdiam diri berbanding mencari penyelesaian.

Menurut Subramaniam juga, tindakan Presiden MIC membawa ROS ke mahkamah juga hanya akan menyebabkan krisis berlanjutan dan sekali gus menyebabkan parti kaum India itu berada dalam keadaan tidak stabil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: